Friday, 9 November 2012

Koleksi barang lamaku...

Menjadi pengumpul barang-barang lama, aku yang masih mentah ini memiliki beberapa barang yang cukup berharga dan mampu mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dahulu.

Almari, televisyen, radio, mesin taip, basikal, beg, telefon, jam dan mainan antara yang aku miliki secara kecil-kecilan. Cukup sekadar perhiasan sahaja.

Sejak zaman belajar lagi, aku sudah berjinak-jinak mengumpul barang-barang lama yang dimulakan dengan jam dinding berharga RM35. Semasa membelinya di Jonker Street, Melaka, penjual jam tersebut yang aku panggil uncle menjual dengan harga tersebut kerana menurutnya sudah rosak.

Hendak dijadikan cerita, aku pun baiki sendiri jam itu dan ha ha ha masih berfungsi. Kalau menurut pasaran ketika itu, boleh jual RM300 rasanya. He he he untung aku.

Berpindah ke Kangar, Perlis, ya aku meneruskan hobi mengumpul barang-barang lama. Di stor milik abang Mat Perabot, aku beli sebuah almari lama. Di almari itulah aku letak pelbagai barang-barang yang membawa kenangan buat aku.

Tak nak cakap banyak, boleh saksikan barang-barang yang aku miliki. Nak jual sayang pula rasanya. Tapi kalau kena harga, apa salahnya kan?...Kalau ada yang nak sewa untuk fotografi, boleh aja. Hubungi aku ok.



Kotak kayu (katanya kotak ubat) yang aku isi dengan koleksi kenang-kenangan ketika ditugaskan di Moscow dahulu. Juga ada kereta mainan lama.

Televisyen lama (hitam putih) yang masih berfungsi aku letakkan di atas peti besi lama.

 
Radio lama, telefon, jam dan teko lama.


Mangkuk tingkat dan bekas makanan (merah).

Tin biskut lama dan botol minuman 7up.
  
Tin-tin bekas rokok.

Radio lama jenama Sanyo dan tabung Peter Pan.

Batu penimbang dan alas cawan.

Bekas tin biskut.

Buku-buku lama dan lampu minyak tanah.
 

Beg lama jenama Echolac.
 
Lukisan minyak.

Beg Qantas Airways.
Almari lama yang penuh dengan barang-barang kenangan.

Kerusi dan beg lama.

Mesin taip jenama Olympia, meja dan kotak kayu lama.

Almari lama, pemain piring hitam dan mainan kereta bomba.
Bekas botol minuman, radio lama dan peti besi.
Kipas lama.
Tabung berbentuk pondok telefon London.
Telefon lama.
Basikal tua.
Almari kayu kecil ini aku beli dengan seorang brother bernama Bobo di Putrajaya.

Jam lama yang aku beli dengan harga RM35.

Lagi beg lama berwarna merah.



Itulah sahaja koleksi yang aku sempat titipkan menerusi ruangan ini. Memang seronok kumpul barang-barang lama dan bertambah seronok kalau tahu sejarah di sebalik barang itu.


Tuesday, 14 February 2012

Malaysiaku di udara


Logo MAS. (Kredit gambar : http://www.malaysiaairlines.com)/
Aku punyai nostalgia tersendiri tentang Penerbangan Malaysia atau Malaysia Airlines (MAS). Semasa kecil, aku selalu dibawa balik ke kampung halaman ibuku di Medan, Sumatera, Indonesia dengan menaiki pesawat MAS. Zaman kanak-kanak, masa tu aku takut nak naik kapal terbang. Apa lagi, `meraung' satu kapal dengar aku menangis. Entah berapa banyak gula-gula dan barang mainan yang diberikan pramugari kepada aku.

Apa yang menariknya, ketika hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan, lagi banyak gula-gula yang diberikan kepadaku. Mungkin mereka takut aku melalak lagi agaknya ketika mendarat. Hahaha...


Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia

Eh lupa nak beritahu, masa tu naik kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah). Aku tak banyak ingat tentang Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia. Apa yang aku tahu ketika itu, ia antara lapangan terbang tertua di Indonesia. Berada di Medan, perkara `wajib' yang harus dilawati ialah Danau Toba. Cantik tempat ni.

Danau Toba

Tapi, ketika kecil, aku takut nak mandi kat tasik ni. Sampai sekarang aku fobia sungai atau laut. Takut lemas. Dan sehingga kinilah aku tak pandai nak berenang. Kalau mandi di laut, sekadar mandi di tepi-tepi sahaja. Berbalik kepada MAS, aku cukup mengagumi `penciptaan' kapal terbang. Pernah satu ketika, semasa tu aku masih di sekolah rendah, kapal terbang mainan adalah antara permainan yang selalu aku minta ayahku belikan selain kereta mainan.


Kini, aku sudah tidak takut menaiki kapal terbang. Dengan pengangkutan udara itu, ia telah membawa aku merantau ke beberapa tempat di luar negara. Namun, walau apa jua penerbangan, aku tetap mengagumi MAS. Biarpun MAS sering kali `dimomokkan' dengan berita kerugian itu ini, krew kabinnya tetap terbaik di mata dunia sehingga sering kali menerima anugerah Krew Kabin Terbaik Dunia. Syabas MAS.



Krew kabin MAS anggun dengan uniform rasminya.

Menyentuh kembali soal untung rugi MAS, aku rasa penerbangan nasional kebanggaan rakyat Malaysia ini mampu untuk terus maju ke depan. Memberi fokus kepada laluan yang membawa keuntungan, MAS juga perlu menggiatkan promosi menerusi pengiklanannya. Teruskan perkhidmatan yang memiliki `jiwa' yang akan terus dihormati masyarakat antarabangsa. Biarpun tidak secanggih perkhidmatan yang ditawarkan pesaing, jiwa Malaysian Hospitality (MH) itu seharusnya diperkukuhkan bagi membolehkan MAS sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan berbilang bangsa.

Dan, sehingga kini, aku masih mengagumi MAS serta masih mengagumi kerjaya krew kabinnya yang sentiasa melemparkan senyuman. MAS, teruskan membawa kami merentasi benua. Terima kasih MAS.



SELAT MELAKA kata : Terbanglah MAS terbang tinggi. Terbang bersama membawa Malaysian Hospitality (MH) yang disegani di pentas dunia.

Monday, 13 February 2012

Ramly oh Ramly




Sekitar 1980-an, masa tu aku masih budak sekolah lagi. Sekolah rendah. Masa tu, aku tinggal di kampung bersama keluarga tersayang. Sekolah pun lebih kurang satu kilometer sahaja dari sekolah. Sekolah kampung. Masa tu, tak kenal lagi apa itu KFC, apa itu McDonald. Eh dahulu ada KL Fried Chicken dan Macdota. Ingat lagi tak? Tapi, keluarga aku bukan orang senang. Nak merasa makan burger pun, kena tunggu pasar malam di bandar Jasin setiap hari Sabtu. Harga pun RM1. Nikmatnya ketika itu dapat makan burger pasar malam. Burger Ramly. Itulah namanya. Ada dua jenis burger sahaja iaitu burger daging dan burger ayam.

Kalau ada sesiapa ahli keluarga aku yang ke pasar malam Jasin, pasti Burger Ramly akan aku pesan. Itupun bergantung kalau mak ayah bagi duit. Nikmatnya. Baunya juga aduh sehingga kini masih terngiang-ngiang dalam fikiran aku. Melangkah ke sekolah menengah, barulah ada duit sikit nak berjalan-jalan ke pasar malam Jasin. Dapatlah aku beli Burger Ramly.

Melangkah ke zaman universiti dan sehingga sudah bekerja pun, ada masanya aku suka beli burger di gerai-gerai di tepi jalan. Makin ramai orang jual burger ya. Burger kini pun sudah macam-macam jenis, rasa dan resipinya. Selain burger ayam atau daging, sudah ada burger dengan keju, burger special dan macam-macam lagilah.

Malam tadi, aku beli burger daging dengan keju di sebuah gerai burger dekat dengan rumahku di Pandan Indah. Harganya RM3.40. Dalam dok tunggu burger masak, terbayang aku zaman aku kecil dahulu. Ya Allah, terharu pula imbas kenangan lalu beli dan menikmati burger di pasar malam Jasin. Dok tengah makan, teringat pula mak ayah aku di kampung. Apa la yang mereka makan malam ni ya?.

Berbalik kepada cerita burger, semasa aku bertugas di Kangar, Perlis beberapa tahun lalu, aku lihat kat sana burger ada macam macam dan macam lagi jenisnya. Ish kreatif juga orang Perlis buat burger ya?. Ada tu letak kacang merah la dan ada tu letak french fries pula di tepi bungkusan. Kreatif peniaga kita. Baguslah, inilah caranya kita hendak memajukan perniagaan.




Eh percaya tak, dahulu semasa zaman kanak-kanak, oleh kerana terlalu `taksub' dengan burger, aku pernah bercita-cita nak bekerja di Kilang Ramly Burger. Masa tu aku menonton sebuah dokumentari berkenaan perjalanan perniagaan Ramly Burger. Seronoknya diorang kerja kat kilang tu. Dalam hati aku berkata, kalaulah aku dapat kerja kat Ramly Burger, tentu setiap hari aku dapat rasa makan burger. Hihihi...

SELAT MELAKA kata : Burger tepi jalan adakalanya lebih nikmat rasanya.

LARI DARI KIAMAT?




Pagi tadi, semasa aku sedang menunggu untuk sidang akhbar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Ipon, Kuala Lumpur, aku isi masa terluang dengan membaca majalah keluaran pertubuhan itu. Sedang asyik membelek helaian demi helaian, aku terbaca artikel tentang kiamat. Seperti yang ditanyakan dalam filem 2012, kiamat akan berlaku pada tahun ini. Aku percaya, ramai sudah menonton filem itu.

Bagaimanapun, aku tertarik dengan satu artikel tentang persiapan pihak-pihak tertentu untuk melarikan diri dari kiamat. Caranya dengan menempah tiket menaiki sebuah kapal yang dinamakan USS Ark 2012 Escape Ship. Siap ada pakej-pakej tertentu lagi yang ditawarkan untuk melarikan diri daripada bencana kiamat ke dunia baharu.



Tak perlu la aku nak sebut pakej-pakej itu. Ermmm... entahlah. Bukan niat aku nak mempromosikan perkara tak berfaedah ni. Aku cuma nak berkongsi pandangan dan menunjukkan inilah kerja puak-puak yang tak percaya kepada hari kiamat yang pasti akan datang dan `singgah' ke tubuh kita walau di mana jua kita bersembunyi. Aku tak tahulah kalau ada orang Islam yang tak percaya dengan hari Kiamat lalu ikut sama menempah tiket menaiki kapal itu nanti. Nauzubillah.

SELAT MELAKA kata : Kalau lari bersembunyi di mana-mana pulau di Selat Melaka sekalipun, setiap insan itu pasti akan merasai mati. Perkara tentang mati ni Allah dah sebut di dalam al-Quran.

Saturday, 11 February 2012

Tun Perak : Pencetus Wasasan Empayar Melaka



Aku beli buku ni di sebuah kedai buku dengan harga RM28.00. Terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Zaman Remaja; Kepimpinan Awal dan Pencetus Wawasan Empayar, buku ini mengisahkan ketokohan Tun Perak, dari zaman remaja sehingga dilantik menjadi orang terpenting kepada kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Menarik buku ni. ``Melaka ini negeri hamba, seperti juga tuan hamba sekalian. Hamba tidak akan mengkhianat, menderhaka atau mengabaikannya. Hamba tidak akan pergi ke negeri lain dan bernaung di bawah payung mahkota selain Melaka ini.'' Demikian ujar Tun Perak ketika hendak membawa diri ke Kelang.

SELAT MELAKA kata : Melaka bumi bersejarah. Sejarahnya juga harus dijadikan pengajaran.

Thursday, 9 February 2012

Kiamat di bumi Somalia





MENJELANG Syawal tahun lalu, sempat aku bertandang ke bumi bergolak Somalia. Mengikuti misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia, apa yang terlintas dalam fikiranku tatkala diberikan tugasan ke sana hanyalah soal kebuluran dan perang saudara. Mungkin ada yang kata sudah terlewat untuk aku menitipkan bait-bait kenangan menerusi blog aku ini sepanjang beberapa hari ditugaskan di tanah gersang itu. Tapi, mesejku cuma satu, inilah yang akan terjadi di Malaysia jika sesama kita saling `berperang' dan tiada penyatuan dalam menakhoda negara tercinta ini.

Bagaimanapun, itulah yang sebenarnya terjadi di Somalia. Negara yang suatu ketika cukup indah dan kaya kini bagaikan `neraka' dunia. Darah sesama Islam seakan `halal' untuk diragut, perang saudara dan ketamakan dalam mengejar kuasa dunia. Seharusnya inilah permaslahatan yang patut dijadikan ikhtibar bagi kita rakyat Malaysia.



LAPANGAN Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu, Somalia.

Berlepas ke bumi Somalia bertarikh 28 Ogos 2010 menerusi pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu keesokannya selepas melalui perjalanan hampir 24 jam. Dengan dua kali `perhentian' iaitu di Male, Maldives dan Pulau SeyChelles, hembusan bayu dan hujan renyai-renyai menyambut ketibaanku bersama rombongan lain tatkala kaki ini mencecah ke bumi yang cukup terkenal dengan insan bernama Jeneral Mohamad Ali Farrah Aidid ini.


Melangkah keluar dari lapangan terbang menuju ke hotel penginapan, deretan bangunan-bangunan yang hancur dibedil peluru dan bom menjadi jamuan mata aku sepanjang perjalanan itu. Seakan bercerita dan berbisik kisah duka yang dialami selama ini, Mogadishu umpama hamparan dunia yang penuh kegelapan. Sana-sini penuh manusia yang mengharapkan secebis roti atau segenggam gandum mahupun beras untuk dijadikan alas perut di sebalik bencana kemarau panjang yang melanda negara Tanduk Afrika itu.



PEMANDANGAN di pintu masuk bandar Mogadishu. Di pintu gerbang itu dikatakan menjadi salah satu lokasi helikopter Black Hawk milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditembak jatuh oleh pejuang Mohamed Ali Farrah Aidid.


Itu belum lagi kalau menjengah ke kem-kem penempatan mangsa kebuluran yang `tumbuh' di hampir segenap kawasan di Mogadishu. Di sebuah kem dinamakan Kem Darul Shifa' yang sempat aku lawati, seorang ibu bernama Malekha Mahdi, 51, menceritakan bagaimana dia dan enam lagi anaknya terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer untuk sampai ke Mogadishu bagi mendapatkan bantuan makanan.

``Tiada makanan dan air di tempat tinggal saya di Bulaabdala. Kemarau yang berpanjangan ini cukup menyiksakan. Kami harus tabah dan sebab itu saya dan anak-anak berjalan kaki untuk ke Mogadishu mencari bantuan,'' ceritanya penuh sayu.

Begitu juga di kem-kem lain. Jeritan kaum ibu merayu diberikan makanan dan air bersih masih terngiang-ngiang di fikiranku. ``Beri kami air, beri kami air. Ada makanan untuk kami?.'' Demikian rayuan mereka yang cukup menyayat hati sesiapa yang memandang.




SEBAHAGIAN kanak-kanak Somalia yang menetap di kem perlindungan sementara di Mogadishu.

Lupa pula hendak beritahu, sepanjang di Somalia, sempat aku menyambut Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 tahun di sana. Sayu rasanya menyambut Aidilfitri di sini. Di luar Masjid Isbahasyiga, sejak awal lagi kaum ibu, golongan tua dan kanak-kanak sudah beratur panjang untuk mengharapkan derma mereka yang bermurah hati.



MASJID ISBAHASYIGA



SEBAHAGIAN daripada kaum ibu dan kanak-kanak yang berkumpul di luar masjid untuk meminta sedekah.

Masih cerita tentang Somalia, sewaktu diberikan ruang masa bersiar-siar di kota Mogadishu, kota ini tak ubah seperti kota berhantu. Bandar industri yang banyak menempatkan hotel bertaraf lima bintang ini juga hancur dek perang saudara yang tercetus sejak 1991 lagi. Stadium Konis, stadium nasional kedua Somalia, turut bertukar menjadi tanah kosong yang menyedihkan. Di sebatang jalan raya, sebuah kereta kebal yang musnah akibat serangan bom masih dibiarkan begitu sahaja.

Begitu juga di Jalan Shabele yang menempatkan banyak pejabat serta kediaman rasmi duta asing ke negara ini. Segala-galanya kini kosong dan `tidak bernyawa'. Berjalan-jalan di sekitar pantai Lido yang terletak berhampiran Shabele pula, pantai yang indah ini turut tidak terkecuali menerima tempias konflik bersenjata yang berlaku. Kelongsong peluru yang sudah berkarat masih kelihatan bertaburan di sekitar pantai itu.



DAHULUNYA ini merupakan bangunan Parlimen lama tetapi musnah dalam perang saudara yang melanda Somalia.



KELONGSONG peluru yang masih bertaburan di sekitar Pantai Lido, Mogadishu, Somalia.



SEBUAH bangunan yang musnah dan dipenuhi dengan kesan-kesan peluru dan bom di Mogadishu, Somalia.




SEBUAH kereta kebal yang masih `terdampar' di sebatang jalan raya di pinggir bandar Mogadishu.



SEBAHAGIAN daripada penghuni sebuah kem perlindungan sementara mangsa kebuluran di Mogadishu.



SEORANG kanak-kanak yang kehausan di kem penempatan sementara mangsa kebuluran di Badbadoo, Mogadishu.



SEORANG ibu memangku anaknya yang menghidap penyakit kekurangan zat.



BEKALAN air bersih sememangnya tidak mencukupi di kem penempatan sementara mangsa kebuluran.



WAJAH seorang kanak-kanak Somalia di sebalik runtuhan bangunan.


Penat bertugas, berpanas dan kehausan, seperkara yang tidak bisa ku lupakan sepanjang di Somalia adalah pemergian seorang rakan setugas dari BernamaTV,  Noramfaizul Mohd. Nor, 39. Sejak awal lagi, memang aku sudah dimaklumkan tentang tahap keselamatan di Somalia. Sejak hari pertama lagi sudah kedengaran bunyi tembakan di sekitar hotel penginapan. Tidak disangka, bunyi tembakan yang didengari saban hari itu `hinggap' pada tubuh empunya diri bernama Noramfaizul pula. Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang dikasihi. Amin.



GAMBAR Allahyarham Noramfaizul (kiri berkopiah) yang sempat aku rakam di perkarangan Masjid Isbahasyiga berlatarkan bangunan Parlimen Somalia yang sudah tidak lagi berfungsi selepas perang saudara.


Pergi membawa bekalan bantuan dan pulang membawa jenazah. Itulah keadaannya. Somalia aku tinggalkan dengan seribu satu kenangan. Syukur Malaysia masih aman dan sejahtera. Semoga nikmat yang Allah kurniakan ini berkekalan selamanya. Tetapi, ada sahaja kalangan kita ini yang seakan tidak menghargai nikmat keamanan yang Allah kurniakan buat Malaysia. Sangat malang. Apakah kita mahu Malaysia jadi seperti Somalia? Mahu begitu?.

SELAT MELAKA kata : Saya sayang Malaysia.